KRI Nanggala 402: MUI gesa adakan solat ghaib untuk mangsa nahas kapal selam
Sinar Harian
April 26, 2021 10:53 MYT
April 26, 2021 10:53 MYT
JAKARTA: Majlis Ulama Indonesia (MUI) meminta umat Islam di Indonesia melaksanakan solat jenazah ghaib bagi kesemua anak kapal KRI Naggala-402 yang disahkan terkorban selepas kapal selam itu tenggelam di perairan Bali, sejak Rabu lalu.
Timbalan Pengerusi MUI, Anwar Abbas berkata solat sunat itu bertujuan bagi memohon dan mendoakan keampunan daripada Allah SWT untuk semua mangsa yang terkorban.
“Mari kita secara bersama atau bersendirian melakukan solat jenazah ghaib supaya semua dosa mereka diampuni serta pengorbanan mereka kepada bangsa dan negara menjadi ibadah serta mendapat ganjaran pahala yang besar dari Allah SWT,” katanya seperti dipetik antaranews.com.
Menurut beliau, pelaksanaan solat itu berdasarkan hadis yang menyebut seseorang yang meninggal dunia kerana tenggelam atau lemas dikira sebagai mati syahid.
"Seandainya memang mereka meninggal dalam keadaan seperti ini, maka mereka jelas telah pergi menghadap Allah SWT dalam keadaan terhormat," ujarnya.
Ketua Angkatan Tentera Laut Nasional Indonesia, Yudo Margono pada Ahad mengumumkan, kesemua 53 kru kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 yang dilaporkan hilang dan tenggelam di perairan Bali pada Rabu lalu disahkan meninggal dunia.
Bangkai KRI Nanggala 402 disahkan selepas pasukan penyelamat menggunakan kenderaan kawalan jauh tanpa pemandu bawah air (ROV) yang dibekalkan Singapura untuk meninjau lokasi dasar laut berkenaan.
Pihak berkuasa berkata, lebih banyak bahagian daripada kapal selam ditemui termasuk sauh dan pakaian keselamatan yang dipakai kru.
Berita asal: KRI Nanggala 402: MUI gesa solat ghaib
#kapal selam
#KRI Nanggala 402
#Indonesia
#53 kru
#solat jenazah ghaib
#kapal selam tenggelam
#Anwar Abbas
#MUI
#Majlis Ulama Indonesia