Kren terjatuh di Bangkok, seorang pekerja maut
Agensi
Januari 22, 2024 20:53 MYT
Januari 22, 2024 20:53 MYT
BANGKOK: SEBUAH kren dilapor terjatuh di lebuh raya berdekatan Jalan Rama II di Bangkok Thailand, mengakibatkan seorang pekerja maut, manakala seorang lagi cedera parah.
Dalam kejadian pada 18 Januari lalu, mangsa yang maut dan cedera masing-masing berusia 44 tahun dan 24 tahun.
Menurut pengendali kren yang enggan dinamankan, mangsa dikenali sebagai Wiphak Phromprasong dan Theeraphat Khannok.
Dia menambah, ketika kejadian operator sedang menaikkan kedua-dua mangsa yang berada dalam bakul untuk menukar cecair penyerap hentak jenis hidraulik.
Pengendali kren tersebut mendakwa mangsa tidak melaporkan sebarang masalah sebelum terdengar bunyi kuat dan mendapati cangkuk kren itu terputus menyebabkan bakul terhempas.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Jungrungreangkit mengarahkan penggantungan operasi tapak pembinaan selama tiga hari bagi tujuan siasatan.
Isu keselamatan mengenai pembinaan lebuh raya bertingkat di atas Jalan Rama II, telah dibangkitkan sebelum ini susulan kejadian korban.
Pada Mei 2023, seorang pekerja terbunuh dan empat kenderaan rosak apabila struktur konkrit terhempas di jalan raya.