Kren kontena tumbang dilanggar kapal kargo, pekerja pelabuhan cedera
Astro Awani
Jun 5, 2021 09:33 MYT
Jun 5, 2021 09:33 MYT
KHAOHSIUNG: Sebuah kren di pelabuhan Taiwan tumbang selepas dilanggar kapal kargo yang cuba berlabuh di situ.
Dalam kejadian pada Khamis, kapal seberat 86,000 tan milik Orient Overseas (International) Ltd, sebuah syarikat perkapalan di Hong Kong, dilapor sedang cuba untuk berlabuh di pelabuhan di Kaohsiung.
Namun, bahagian atas kapal terlanggar dengan kren tinggi di pelabuhan dan menyebabkan ia tumbang.
Dalam video yang tular di media sosial, rakaman menunjukkan kren yang tumbang itu menghentam kren lain serta timbunan kontena yang terletak berdekatan.
Beberapa pekerja juga dilihat bergegas lari dari lokasi untuk menyelamatkan diri.
Seorang pekerja dilaporkan cedera di lengan dan dihantar ke hospital, kata jurucakap syarikat pengurusan pelabuhan itu.
Lokasi nahas ditutup buat sementara waktu, kata Taiwan International Ports Corp Ltd dalam satu kenyataan.