'Kratom' dilarang sama sekali di Singapura
Bernama
Jun 29, 2018 05:21 MYT
Jun 29, 2018 05:21 MYT
Sesetengah memanggilnya dengan nama 'kratom', 'ketum', air ketum', 'ithang', 'biak biak', 'kakuam' atau 'thom' sebagai minuman herbal yang baharu, tetapi walau apapun nama yang diberikan, penggunaannya dilarang sama sekali di Singapura.
Pihak berkuasa Singapura kini membuat pemeriksaan ketat terhadap pelancong yang cuba membawa masuk bahan-bahan terkawal - 'kratom', 'ketum', air ketum', 'ithang', 'biak biak', 'kakuam' atau 'thom' - ke republik itu.
Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) baru-baru ini telah merampas cecair dipercayai "kratom" daripada dua penunggang motosikal dari Malaysia di pusat pemeriksaan Woodlands pada dua hari yang berasingan.
ICA berkata dua beg plastik mengandungi cecair hitam coklat, dipercayai 'kratom', ditemukan di bahagian tempat duduk motosikal yang ditunggangi oleh warga Malaysia itu berusia 35 tahun pada 26 Jun.
Pada hari berikut, ICA berkata para pegawainya menemukan 'kratom' yang disembunyi dalam botol air minuman ringan daripada seorang lagi penunggang motosikal rakyat Malaysia berusia 29 tahun.
Kedua-dua kes dirujuk kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk siasatan, katanya dalam laman Facebook ICA hari ini.
ICA menyatakan bahawa 'kratom' juga terdapat dalam bentuk daun-daun segar (yang dikunyah secara langsung) atau dalam bentuk daun kering atau ekstrak serbuk (yang kemudian direbus).
'Kratom' mengandungi "Mitragynine" dan "7-Hydroxymitragynine" yang merupakan bahan larangan di bawah Akta di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA), kata ICA.
Di bawah MDA, penyalahgunaan, pemerdagangan, import dan eksport bahan mengandungi Mitragynine atau 7-Hydroxymitragynin merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum.
Pengimportan bahan terkawal itu ke Singapura menjadi satu kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 5 tahun dan 5 kali sebatan, dan maksimum hukuman penjara 30 tahun dan 15 kali sebatan.
-- BERNAMA
#air ketum
#biak biak
#Biro Narkotik Pusat
#botol air
#cecair hitam
#Herba
#Hukuman
#ICA
#ketum
#kratom
#Malaysia
#minuman ringan
#motosikal
#Singapura
#undang-undang