Kotak hitam pesawat terhempas di Nepal ditemui
Agensi
Januari 16, 2023 16:52 MYT
Januari 16, 2023 16:52 MYT
POKHARA: Perakam suara kokpit dan data pesawat Yeti Airlines 691 yang terhempas di Pokhara, Nepal, ditemui oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada Isnin.
Kedua-dua komponen berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan baik.
Penemuan tersebut bakal membantu pasukan penyiasat menentukan punca penerbangan itu terhempas ketika dalam perjalanan dari Kathmandu ke Pokhara pada Ahad.
Insiden itu merupakan yang terburuk dalam tempoh 30 tahun di negara itu.
Anggota SAR dilaporkan berdepan cuaca buruk dalam proses mencari mayat mangsa terkorban, dengan 68 mangsa disahkan terkorban setakat ini.
Pesawat ATR 72-500 itu membawa 57 rakyat Nepal, lima India, empat Rusia, dua Korea Selatan dan masing-masing seorang rakyat Argentina, Ireland, Australia dan Perancis.
Penerbangan pendek yang biasanya mengambil masa 30 minit itu dilaporkan tidak berdepan sebarang cuaca buruk ketika insiden berlaku.
Dalam laporan semalam, sebuah video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan pesawat itu kelihatan terbang rendah melintasi sebuah kawasan berkepadatan penduduk tinggi sebelum membuat belokan tajam.
Saksi kejadian juga berkata, sejurus terhempas, kelihatan asap hitam berkepul ke udara serta mereka melihat serpihan-serpihan pesawat yang masih terbakar.
Ratusan anggota tentera Nepal digegaskan ke lokasi nahas di kawasan lembah Sungai Seti, yang hanya sejauh 1.5 kilometer dari lapangan terbang.
Penyiasat berkata, proses siasatan dan penentuan punca insiden berkenaan dijangka mengambil masa beberapa bulan.