Kotak hitam pesawat Lion Air JT610 dijumpai
Astro Awani
November 1, 2018 13:04 MYT
November 1, 2018 13:04 MYT
Kotak hitam JT610 Lion Air yang terhempas di Laut Jawa telah dijumpai sekitar 11.50 pagi (waktu tempatan) pada kedalaman 30-40 meter dasar laut.
Kotak hitam tersebut dikatakan berada dalam keadaan baik ketika dijumpai oleh pasukan penyelam Angkatan Laut, Tentara Nasional Indonesia (TNI).
Menurut wartawan Kompas TV, Iryanda Mardanuz, pasukan penyelam TNI berjaya menjumpai kotak hitam milik pesawat Lion Air itu dan membawanya naik ke atas kapal Baruna Jaya I.
Tambah Iryanda, kotak hitam yang dinaikkan itu perlu terus diletakkan di dalam bekas yang berisi air laut untuk memastikan fungsinya terpelihara.
Kotak hitam itu seterusnya akan diproses mengikut prosedur tertentu bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap data yang dikandungnya.
Semalam, menurut Ketua Biro Kompas TV, Safri Sitepu yang menyampaikan laporan kepada Astro AWANI, Kapal Baruna Jaya I milik Badan Pengkajian dan Penerapan Teknologi (BPPT) telah berjaya menjejak isyarat kotak hitam dari pesawat itu.