Kotak hitam pesawat Aseman Airlines ditemui

Agensi
Mac 4, 2018 06:10 MYT
Anggota pasukan kecemasan dan penyelamat menjalankan pencarian pesawat yang terhempas di kawasan pergunungan di Iran, 19 Feb, 2018. REUTERS / Fail
Pasukan mencari dan menyelamat berjaya menemui kotak hitam pesawat Aseman Airlines yang terhempas di kawasan pergunungan di barat daya Iran pada Februari lalu.
Ketika kejadian, pesawat yang membawa 66 orang penumpang dan anak kapal itu dalam perjalanan ke Yasuj dari Lapangan Terbang Mehrabad, Tehran.
Timbalan Gabenor Wilayah Aziz Fili berkata, kotak hitam tersebut yang mengandungi maklumat penting penerbangan ditemui oleh pasukan pencarian di Gunung Dena.
Menurut Ketua Kemalangan Pesawat di Jabatan Penerbangan Iran, Hassan Rezaeifar, kotak hitam itu berada dalam keadaan baik namun sudah terperangkap di bawah timbunan salji selama hampir dua minggu.
"Mustahil untuk mendapatkan maklumat terus dari kotak itu. Ia perlu diperbaiki dan memorinya perlu dipasang pada satu mesin baru," katanya.
Sementara itu, pengarah perhubungan awam jabatan itu, Reza Jafarzadeh, berkata kotak hitam tersebut yang mencatatkan parameter penerbangan dan perbualan juruterbang di dalam kokpit akan dihantar ke pihak berkuasa kehakiman.
Pesawat ATR-72 itu berlepas pada 18 Feb dalam keadaan cuaca berkabus dan terhempas di Gunung Dena yang merupakan sebahagian daripada banjaran gunung Zagros.
Banjaran gunung itu terletak kira-kira 23 kilometer dari Yasuj, sekitar 500 kilometer ke selatan Tehran.
#Aseman Airlines #ATR-72 #Iran #kotak hitam #Tehran
;