Kota London dibanjiri pelancong dunia menjelang upacara pertabalan

Astro Awani
Mei 4, 2023 07:45 MYT
Orang ramai berkhemah di sepanjang laluan Pertabalan Diraja berdekatan sebuah kadbod yang diukir gambar mendiang Queen Elizabeth II, di London, 4 Mei 2023. (Foto AP)
PELANCONG dari seluruh dunia mula membanjiri kota London pada Khamis, menjelang pertabalan Raja Charles III Sabtu ini.
Ratusan ribu pelancong dijangka memenuhi ibu negara Britain itu pada hujung minggu ini bagi menyaksikan detik bersejarah tersebut.
Pertabalan Raja Charles III dijangka menarik perhatian para peminat kerabat diraja Britain itu yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada detik bersejarah itu.
Tidak sampai 48 jam sebelum istiadat bersejarah itu berlangsung, pelancong yang sudah tiba mula memenuhi perkarangan kawasan Istana Buckingham dengan memasang khemah semata-mata untuk mendapatkan pemandangan terbaik semasa menyaksikan acara itu nanti.
Pertabalan Raja Charles III bakal berlangsung pada Sabtu dalam satu upacara gilang gemilang di Westminster Abbey yang turut dihadiri pemimpin-pemimpin dunia dan diplomat dari seluruh dunia.
Isteri Raja Charles III, Camilla Parker Bowles turut akan ditabal sebagai permaisuri atau 'Queen Consort' pada hari sama, dalam istiadat berasingan.
Upacara tersebut melibatkan ribuan anggota tentera dalam satu perarakan besar di kota London.
#Raja Charles III #Britain #pertabalan diraja #Istana Buckingham
;