Kos tenaga meningkat, Belgium buat persediaan hadapi musim sejuk

Bernama
Ogos 23, 2022 05:30 MYT
De Croo berkata keadaan sukar untuk Eropah dan beberapa sektor menghadapi masalah serius akibat kenaikan harga tenaga. - Gambar fail BERNAMA
BRUSSELS: Perdana Menteri Belgium pada Isnin berkata peningkatan kos tenaga boleh menimbulkan kesukaran jangka panjang kepada negara pada musim sejuk akan datang.
"Lima hingga 10 musim sejuk akan datang akan menjadi sukar," kata Alexander De Croo ketika melawat terminal gas asli cecair (LNG) di Zeebrugge, lapor Agensi Anadolu.
De Croo berkata keadaan sukar untuk Eropah dan beberapa sektor menghadapi masalah serius akibat kenaikan harga tenaga.
Tambahnya pihaknya sedang giat menjalankan pemantauan dan adalah penting untuk membuat persediaan bagi menghadapi keadaan terburuk.
Kenaikan harga tenaga memberi kesan kepada ekonomi Belgium, terutamanya dalam sektor yang banyak bergantung kepada tenaga. Kapasiti pengeluaran beberapa sektor dikatakan telah dipotong separuh. Satu perempat daripada gas asli negara digunakan dalam operasi perindustrian.
Rusia mengancam untuk mengurangkan penghantaran gas ke Eropah kerana banyak negara barat termasuk Kesatuan Eropah (EU) telah mengenakan sekatan ke atas individu dan entiti Rusia sebagai reaksi terhadap perang Moscow di Ukraine, yang kini memasuki bulan keenam.
Dengan mengandaikan senario terburuk jika Rusia memotong bekalan gas sepenuhnya, EU telah mengumumkan rancangan untuk mengurangkan penggunaan gas sebanyak 15 peratus dari Ogos hingga Mac bagi mengurangkan permintaan secara beransur-ansur.
-- BERNAMA
#Alexander De Croo #Belgium #musim sejuk #kos tenaga
;