Kos haji meningkat, Indonesia bakal potong subsidi

Agensi
April 9, 2022 14:20 MYT
BPKH Indonesia pada setiap tahun perlu mencari dana subsidi untuk menampung keperluan pembiayaan haji bagi jemaah Indonesia yang mencecah hingga 6.9 trilion rupiah (RM1.9 bilion). - Gambar fail/BERNAMA
SUSULAN kos menunaikan haji yang meningkat pada tahun ini, kerajaan Indonesia dilaporkan bakal memotong subsidi ibadah haji rakyat negara tersebut.
Menurut laporan Suara.com pada Jumaat, tindakan itu terpaksa dilakukan dan akan dilakukan secara berperingkat dengan alasan pembiayaan pada ketika ini terlalu mahal.
Ketua Badan Pengurusan Kewangan Haji (BPKH), Anggito Abimanyu turut dilaporkan menyokong langkah tersebut kerana menurutnya, prinsip menunaikan haji hanya untuk mereka yang mampu.
BACA: Kerajaan jamin subsidi haji diteruskan - Idris
Anggito turut mendedahkan kos sebenar untuk menunaikan ibadah haji bagi seorang individu sekitar 70 juta rupiah (RM20,000) tetapi jemaah Indonesia hanya perlu membayar separuh daripanya iaitu sekitar 35 juta rupiah (RM10,000).
Justeru, BPKH pada setiap tahun perlu mencari dana subsidi untuk menampung keperluan pembiayaan haji bagi jemaah Indonesia yang mencecah hingga 6.9 trilion rupiah (RM1.9 bilion).
Terdahulu, Kementerian Agama (Kemenag) Indonesia merancang untuk menilai corak pengurusan kewangan haji tahun ini termasuk pertimbangan pemotongan subsidi kos haji.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan kerajaan memberi jaminan kemudahan subsidi bagi menunaikan ibadah haji diteruskan tahun ini, bagaimanapun kadar yang akan ditanggung masih belum diputuskan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Kos Haji | Dijangka meningkat lebih RM25,000 tahun ini – TH
Idris berkata beliau akan berbincang dengan Lembaga Tabung Haji (TH) mengenai kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah susulan jangkaan kos mengerjakan haji pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 ekoran kenaikan cukai dan caj perkhidmatan baharu yang dikenakan Arab Saudi.
TH sebelum itu dilaporkan berkata kos menunaikan haji meningkat kepada 12 peratus tahun ini berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019, mengambil kira kenaikan cukai tambah nilai (VAT) daripada lima peratus kepada 15 peratus dan beberapa caj perkhidmatan tambahan lain.
TH mengekalkan kadar bayaran haji sebanyak RM9,980 sejak 13 tahun lepas walaupun kos untuk menunaikan haji meningkat setiap tahun.
#subsidi #Haji #Tabung Haji #Indonesia
;