Koronavirus: Warga emas terkejut diherdik dron kerana tidak pakai topeng muka
Agensi
Februari 2, 2020 18:05 MYT
Februari 2, 2020 18:05 MYT
SUSULAN penularan koronavirus yang semakin membimbangkan, pihak berkuasa China telah menemui cara terbaharu untuk memantau orang awam dan menjalankan aktiviti penguatkuasaan.
Pihak berkenaan, menerbangkan dron untuk memantau serta memarahi orang awam yang tidak memakai topeng muka di tempat awam.
Perkara itu dikongsi oleh Twitter Global Times, menerusi satu muat naik video yang memaparkan visual seorang warga emas dimarahi pihak berkuasa, gara-gara tidak mengenakan topeng muka ketika keluar rumah.
“Ya, makcik, dron ini sedang bercakap dengan anda. Anda tidak sepatutnya berada di luar rumah tanpa menggunakan topeng muka.
“Kamu sepatutnya pulang ke rumah dan jangan lupa mencuci tangan kamu,” jelas pihak berkuasa terbabit kepada wanita berkenaan.
Malah, video itu turut menunjukkan penguatkuasaan yang sama dilakukan di beberapa lokasi lain.
Di China, seramai lebih 300 mangsa telah meninggal dunia manakala hampir 15,000 yang lain dijangkiti koronavirus.
Virus itu, turut menular di beberapa negara lain sehingga memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan darurat kesihatan awam global.
Sejak 2016, pihak berkuasa China telah menggunakan dron untuk kerja-kerja pemantauan awam.
Ia juga digunakan dalam pengawasan lalu lintas di beberapa kawasan di negara itu.