Koronavirus: Remaja OKU meninggal dunia ketika bapa dan adik dikuarantin
Agensi
Februari 2, 2020 13:59 MYT
Februari 2, 2020 13:59 MYT
Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia di kawasan luar bandar China pada Rabu ketika bapa dan adiknya dikuarantin akibat disyaki dijangkiti novel koronavirus.
Memetik laporan South China Morning Post, mangsa dikenali sebagai Yan Cheng, 17, ditinggalkan bersendirian di rumah tanpa penjagaan sesiapa selama enam hari.
Menurut pihak berkuasa tempatan, mangsa menghidap penyakit cerebral palsy iaitu sejenis kumpulan penyakit motor-neutron kekal yang sentiasa memerlukan perhatian.
Bapa mangsa, Yan Xiaowen, 49, dan adiknya yang berusia 11 tahun telah melancong ke Wuhan pada 17 Januari lalu untuk menyambut Tahun Baharu Cina di kampung mereka di Huahe, kira-kira 150 kilometer dari kawasan bermulanya penyebaran virus bahaya itu.
Tiga hari kemudian, bapa mangsa mengalami demam dan dikuarantinkan bersama adiknya yang mengalami masalah autisme oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Keadaan itu menyebabkan mangsa ditinggalkan keseorangan tanpa sebarang penjagaan dan makanan.