Koronavirus masih bukan pandemik, WHO kini bergelut atasi infodemik

Astro Awani
Februari 4, 2020 23:31 MYT
WHO bimbang masalah kecelaruan maklumat atau infodemik dan penularan khabar angin sukar untuk diatasi.
PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa mengesahkan wabak novel koronavirus 2019-nCoV bukan pandemik walaupun jangkitannya sudah melepasi 20,000 kes.
Ketua Persediaan Jangkitan Global WHO Sylvie Briand membayangkan wabak tersebut dapat dibendung susulan pelbagai langkah yang diambil, termasuk tindakan pantas kerajaan China.
Pada masa sama, beliau bimbang masalah kecelaruan maklumat atau ‘infodemik’ dan penularan khabar angin sukar untuk diatasi.
"Apabila kita memerangi epidemik, kita sedar wujud isu ‘epidemik maklumat’. Ini yang kami sebut sebagai ‘infodemik’.
“Kami sedar bahawa 'infodemik' boleh merencatkan maklum balas serta melambatkan pelaksanaan mengatasi wabak berkenaan,” katanya pada sidang media di Geneva.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Angka korban lebih 400 di seluruh dunia
Briand turut mengakui usaha bagi mengubati ‘infodemik’ adalah sukar kerana memerlukan kerjasama banyak pihak di peringkat antarabangsa.
Beliau juga mengumumkan kerjasama dengan Google bagi membangunkan projek baharu yang digelar ‘SOS Alert’ untuk membantu orang ramai mendapatkan maklumat tepat mengenai jangkitan 2019 nCoV.
BACA: WHO isytihar koronavirus darurat kesihatan global
#2019-nCoV #China #coronavirus #epidemik maklumat #Google #infodemik #kecelaruan maklumat #kerajaan #khabar angin #koronavirus #Media #nCoV #pandemik #SOS Alert #Sylvie Briand #wabak #WHO