Koronavirus: China perlu tanda, satu dunia menanti nama

Razak Chik
Februari 5, 2020 05:11 MYT
Pada era pengaruh media sosial berleluasa, sebarang prasangka dengan mudah tersebar dan apabila menjadi tular, susah untuk ditarik semula. - Gambar fail/REUTERS
ANDA mungkin tersentak jika diberi tahu virus yang sedang merebak satu dunia dan hangat disebut sebagai 2019 novel coronavirus (2019 n-Cov) sebenarnya belum ada nama.
Nama koronavirus hanya menunjukkan kumpulan di mana virus baharu ini terhimpun.
2019 n-CoV hanyalah nama sementara berdasar tanda tarikh (tahun 2019 penularan dikenal pasti), `n’ bermakna baharu (novel dari nouvelle menunjukkan baharu dalam Bahasa Perancis) dan CoV memberi petunjuk Corona (korona) dan `v’ untuk Virus.
Anda perlu bersabar seketika kerana satu kumpulan saintis penyelidik epidemiologi di Amerika Syarikat semakin hampir mereka nama untuknya.
Menurut satu laporan dari BBC, pasukan 11 orang saintis dari jawatankuasa antarabangsa pengkaji virus (International Committee on Taxonomy of Viruses) sudah sejak dua minggu lalu menjalankan tugas pencarian nama yang bersesuaian.
Seorang anggota pasukan ICTV Prof Benjamin Neuman memberitahu BBC, satu nama berjaya dipilih setelah dua hari perbincangan berjalan.
Prof Neuman kini pemegang kerusi Sains Biologi (Biological Sciences) di Texas A&M University-Texarkana di Amerika Syarikat.
Tambah Prof Neuman, nama pilihan sudah dikemukakan kepada sebuah jurnal sains dan penerbitan dijadualkan dalam masa terdekat.
Anda mungkin akan bertanya – ada apa pada nama?
Menurut Prof Neuman, nama yang bersesuaian memudahkan orang awam menyebut, memahami dan mengambil langkah pencegahan wabak yang melanda.
Nama yang tepat juga turut membantu para pengkaji epidemiolgi memberi fokus sepenuhnya – menjimat masa dan mengelak kekeliruan dalam usaha penyelidikan.
Laporan BBC itu turut menyebut pendapat pakar sains Dr Crystal Watson dari Johns Hopkins Center for Health Security tentang pentingnya memberi nama virus baharu ini dengan cepat dan tepat.
Menurut Dr Watson, nama corona diguna berdasarkan pancang bermahkota (spiked crowns) yang jelas kelihatan apabila struktur virus itu diteliti menggunakan mikroskop.
Perkataan novel diguna berdasarkan ini merupakan penemuan baharu.
“Nama ini agak terlalu panjang menyebabkan media dan orang awam menggunakan pelbagai nama alternatif mengikut selera atau kecenderungan masing masing.
“Ini memberi peluang pihak yang prejudis terhadap sesuatu negara atau bangsa menimbulkan syak wasangka dan konflik menyentuh isu perkauman,’ katanya.
Pada era pengaruh media sosial berleluasa, sebarang prasangka dengan mudah tersebar dan apabila menjadi tular, susah untuk ditarik semula.
Sebagai contoh, penularan virus H1N1 pada 2009 disebut selsema babi (swine flu). Ini menyebabkan Mesir memusnahkan keseluruhan ternakan babi walaupun proses jangkitan melibatkan manusia dan bukan haiwan.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2015 mengkritik pilihan nama MERS kerana menimbulkan prasangka terhadap penduduk Timur Tengah.
WHO seterusnya mencadangkan garis panduan bagi penamaan virus apabila timbul sebarang darurat kesihatan.
Dalam isu pemilihan nama, sebarang kaitan tentang lokasi geografi, nama individu, haiwan atau jenis makanan, budaya atau industry perlu dielak.
Tambah WHO, kuasa dan tarikan kepada nama berpotensi menimbulkan reaksi negatif terhadap sesuatu kaum, agama atau kumpulan etnik.
Juga terbukti prejudis ini membina tembok yang mengekang pertumbuhan dunia, kelancaran perdagangan dan penghapusan ternakan yang menjadi sumber bahan makanan.
Semuanya terjadi apabila kurang peka pilih nama terhadap wabak yang melanda.
#coronavirus #garis panduan #MERS #nama virus #nCoV #novel koronavirus #SARS #virus Wuhan #WHO
;