Koronavirus: China Eastern Airlines gantung penerbangan ke Amerika Syarikat
Agensi
Februari 3, 2020 18:34 MYT
Februari 3, 2020 18:34 MYT
Syarikat penerbangan China Eastern Airlines menggantung semua penerbangan ke dan dari Amerika Syarikat ekoran penularan wabak novel koronavirus (2019-nCoV).
Jadual penerbangan dari Shanghai ke Los Angeles dan New York dibatalkan bermula dari tarikh 2 Februari hingga 10 Februari atas faktor kepentingan kesihatan awam, menurut laporan CNN.
Bagaimanapun, tiada sebarang maklum balas direkodkan daripada syarikat berkenaan dan dua lagi syarikat penerbangan, Air China dan China Southern turut mengambil langkah berdiam.
China Eastern dilaporkan turut membatalkan penerbangan dari Shanghai ke San Francisco pada 6 dan 9 Februari, Chicago pada 8 Februari, serta Honolulu dari 3 hingga 27 March.
Sementara itu, beberapa penerbangan ke Los Angeles, San Francisco dan Vancouver dari Chengdu atau Kunming turut dibatalkan pada minggu ini.
“Dalam tempoh akan datang, China Eastern akan fokus pada keadaan semasa dan mungkin akan melakukan perubahan pada jadual penerbangan,” lapor satu notis
Menerusi satu perkembangan lain, beberapa syarikat penerbangan antarabangsa termasuk Air Canada, British Airways, Delta, Lufthansa dan Qatar turut menggantung semua penerbangan ke China.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada sehingga hujung Februari atau dilanjutkan lebih lama lagi.
#Air China
#China Eastern Airline
#China Southern
#Los Angeles
#New York
#novel koronavirus
#Shanghai
#syarikat penerbangan