Koronavirus ancaman, dana beratus jutaan, vaksin jadi buruan
Razak Chik
Februari 6, 2020 23:11 MYT
Februari 6, 2020 23:11 MYT
JIKA habuan kewangan mampu membantu pencarian `pil ajaib’ penyembuh wabak selsema, adakah kita hanya menanti masa dan ketika sebelum usaha tersebut berjaya?
Ganjaran berjumlah jutaan sudah pun ditawarkan – sama ada sebagai hadiah atau untuk membiayai usaha pencarian vaksin bertujuan rawatan.
Bill Gates bersama isterinya membuat sumbangan menakjubkan, iaitu jumlah sebanyak AS$100 juta untuk tujuan ini.
Dari dunia lakonan, Jackie Chan pula menawarkan satu juta yuan (RM587,709 atau AS$143,000) memberi insentif bagi mana-mana pihak yang berjaya menemukan vaksin.
Sumbangan Bill Gates dibuat melalui The Bill & Melinda Gates Foundation (Gates Foundation) diumum awal Februari. Ini merupakan tambahan merangkumi (inklusif) jumlah AS$10 juta yang diumumkan pada hujung Januari.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Gates Foundation Mark Suzman, sumbangan itu diharap akan menyemarakkan usaha penyelesaian berdasarkan sains. Ini bagi mengelak kegusaran tidak bertempat apabila faktor etnik, bangsa dan prejudis kaum timbul dan tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Dari jumlah ini, AS$20 juta dikerah serta-merta untuk mempercepat usaha menjejak, menyisih, mengasing dan merawat bagi tujuan mencegah penularan pada tahap global.
Sumbangan dana ini ditujukan untuk kegunaan badan induk seperti WHO dan Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC). Seterusnya, dua badan peringkat kebangsaan – Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China dan Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit China – turut menjadi penerima dana awal ini.
Menurut Suzman, tindakan cepat ini bertujuan menggerakkan usaha membanteras penularan wabak semampu mungkin untuk pembiayaan tenaga kerja dan perbekalan ubatan pada kadar segera.
Dari dana sumbangan Gates Foundation itu, AS$60 juta disalurkan khusus untuk usaha percepat ujian, penyelidikan dan rawatan dituju kepada penularan nCoV.
United Kingdom turut mengumumkan sumbangan dana sebanyak AS$26 juta untuk digunakan dalam usaha mencari vaksin penawar.
Usaha mencari vaksin nCoV ada persamaan penularan wabak SARS pada 2003. Pada waktu itu, vaksin yang dicipta hanya mampu menjalani percubaan klinikal (clinical trials) pada peringkat awal. Usaha itu tebantut apabila wabak SARS berakhir.