Koridor maritim Gaza beroperasi hujung minggu ini
Astro Awani
Mac 9, 2024 09:20 MYT
Mac 9, 2024 09:20 MYT
LARNACA: Koridor maritim ke Gaza akan beroperasi hujung minggu ini.
Pesuruhjaya Eropah, Ursula von der Leyen mengesahkan, ia akan meningkatkan penghantaran bantuan ke wilayah itu.
Pengumuman ini menyusul rancangan Amerika Syarikat (AS) untuk membina pelabuhan sementara di Gaza.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini menganggarkan populasi Gaza kini di ambang krisis kebuluran.
Von der Leyen memberitahu, koridor maritim akan membolehkan jumlah besar bantuan dihantar ke Gaza.
Sementara itu, Suruhanjaya Eropah, Cyprus, AS, United Kingdom (UK) dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), dalam kenyataan bersama memaklumkan akan terus mendesak Israel untuk membenarkan penghantaran bantuan menerusi jalan darat dan membuka lebih banyak laluan.
Dalam pada itu, Israel mengalu-alukan pembukaan koridor maritim dan menjemput negara-negara lain menyertai inisiatif itu.
Bagaimanapun ketua Agensi Pelarian Antarabangsa mendakwa koridor maritim semata-mata tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan bantuan, khususnya makanan.
Sebelum ini AS dan beberapa negara lain menghantar makanan menerusi udara dengan menggugurkan keperluan tersebut.