Korea Utara umum uji peluru berpandu taktikal jenis baharu
Astro Awani
Mac 25, 2021 07:09 MYT
Mac 25, 2021 07:09 MYT
SEOUL: Korea Utara umum telah melancarkan "peluru berpandu taktikal jenis baharu" pada Khamis.
Menurut agensi berita KCNA pada Jumaat, pelancaran itu merupakan ujian peluru berpandu balistik pertama di negara tersebut sejak hampir satu tahun.
Senjata baharu itu adalah daripada teknologi sedia ada yang diperbaiki untuk membolehkannya membawa peledak seberat 2.5 tan.
Portal itu juga memaklumkan kedua-dua senjata itu menyasarkan dengan tepat sasaran sejauh 600 km di luar pantai timur Korea Utara dalam ujian yang dilakukan.
"Pembangunan sistem senjata ini sangat penting dalam meningkatkan kekuatan ketenteraan negara dan mencegah segala macam ancaman" kata Ri Pyong Chol, pemimpin kanan yang menyelia ujian itu.
Foto yang dikeluarkan media negara itu menunjukkan peluru berpandu berwarna hitam dan putih dilancarkan dari kenderaan pelancaran tentera.
Amerika Syarikat (AS), dalam pada itu, mengutuk pelancaran peluru berpandu itu dan memberi amaran tentang ancamannya terhadap keamanan dan keselamatan antarabangsa.
Presiden Joe Biden pada Khamis berkata AS tetap terbuka untuk berdiplomasi dengan Korea Utara, namun memberi amaran reaksi balas jika Korea Utara memperbesarkan isu sedia ada.
Jabatan Negara AS juga mengecam pelancaran peluru berpandu balistik itu.
"Pelancaran (peluru berpandu balistik) ini melanggar beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB dan mengancam wilayah dan masyarakat antarabangsa secara lebih meluas," kata jurucakap Jabatan Negara.