Korea Utara tidak peduli amaran, lancar roket jarak jauh

Agensi
Februari 7, 2016 12:38 MYT
Korea Selatan sebelum ini meramalkan bahawa Korea Utara mungkin melakukan pelancaran roket itu sebelum 16 Februari sempena ulang tahun kelahiran bekas pemimpinnya, Kim Jong Il. - Foto AP/Ahn Young-joon
Korea Utara melancarkan sebuah roket jarak jauh yang didakwanya membawa satelit dari tapak misilnya di barat laut negara itu awal pagi Ahad.
Perkembangan itu merupakan kali kedua negara berkenaan mencetuskan kontroversi antarabangsa tahun ini selepas melakukan ujian bom nuklear pada 6 Januari lalu.
Pelancaran itu disahkan oleh pegawai pertahanan Amerika Syarikat, Jepun dan tentera Korea Selatan.
“Hari ini, sekitar 9.31 pagi waktu tempatan, sebuah roket jarak jauh dilancarkan dari Korea Utara menuju ke arah selatan. Pada masa ini, siasatan kami mendapati bahawa tidak ada serpihan yang jatuh ke atas negara Jepun,” ujar ketua Setiausaha kabinet Jepun, Yoshihide Suga.
Roket yang dilancarkan itu turut melalui ruang udara kepulauan Okinawa di selatan Jepun.
Korea Selatan sebelum ini meramalkan bahawa Korea Utara mungkin melakukan pelancaran roket itu sebelum 16 Februari sempena ulang tahun kelahiran bekas pemimpinnya, Kim Jong Il.
Langkah ini juga jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang Korea Utara melakukan sebarang ujian roket atau bom nuklear.
Pakar berpendapat, Pyongyang kini sedang membangunkan senjata nuklearnya yang mempunyai keupayaan mengancam Amerika Syarikat.
Negara itu walaubagaimanapun selama ini menegaskan program pembangunan nuklearnya hanya bersifat saintifik.
Sementara itu Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe mengecam tindakan Korea Utara itu./
Menurut Abe, negaranya akan bekerjasama dengan komuniti ekonomi dunia dengan mengambil tindakan tegas terhadap Korea Utara sekiranya perlu.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan langkah Korea Utara meneruskan pelancaran selepas diberi amaran berulang kali. Pelancaran misil ini yang menyusuli ujian nuklear tempoh hari jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB.
“Kami akan bekerjasama dengan komuniti antarabangsa dan tegas untuk mengambil sebarang langkah tindak balas yang sesuai. Kami juga akan berusaha sebaik mungkin untuk melindungi keselamatan dan keselamatan rakyat,” ujarnya.
#Jepun #Korea Selatan #Korea Utara lancar roket #Majlis Resolusi PBB
;