Korea Utara tembak 3 peluru berpandu, satu terbang merentasi sempadan dengan Korea Selatan
Bernama
November 2, 2022 12:57 MYT
November 2, 2022 12:57 MYT
SEOUL: Korea Utara melancarkan sekurang-kurangnya tiga peluru berpandu balistik (SRBM) jarak dekat ke Laut Timur pada Rabu, dengan salah satu daripadanya terbang merentasi sempadan maritim dengan Korea Selatan, buat pertama kali sejak berakhirnya Perang Korea 1950-53, menurut tentera Korea Selatan.
Ketua Turus Bersama (JCS) berkata peluru berpandu yang ditembak dari tapak di dalam atau sekitar bandar pantai timur utara Wonsan dikesan sekitar 8:51 pagi, lapor agensi berita Yonhap.
Provokasi terbaharu Korea Utara dibuat sebagai bantahan terhadap latihan udara berskala besar lima hari yang diadakan bersama oleh Korea Selatan dan Amerika Syarikat bermula Isnin.
Salah satu daripada tiga SRBM itu jatuh ke laut lepas 26 kilometer ke selatan Garisan Had Utara (NLL), iaitu 57 km ke timur bandar Sokcho yang terletak di tenggara dan 167 km barat laut Pulau Ulleung berhampiran Dokdo. Ia menuju ke arah pulau itu sebelum jatuh ke perairan antarabangsa, menyebabkan pihak berkuasa tempatan mengeluarkan amaran serangan udara.
Korea Utara juga menembak pelbagai jenis peluru berpandu lain ke arah barat dan timur, kata JCS.
"Tentera kami tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan provokasi Korea Utara dan akan bertindak balas dengan tegas dengan kerjasama erat AS," katanya dalam satu kenyataan.
Ia mengkritik tindakan Korea Utara yang melancarkan peluru berpandu balistik berhampiran perairan wilayah Selatan dan menyifatkannya sebagai tindakan "tidak boleh diterima".
Tindakan itu dibuat ketika Seoul dan Washington mengadakan latihan Vigilant Storm yang melibatkan lebih 240 pesawat, termasuk pesawat jet stealth canggih, merentasi ruang udara di semenanjung itu untuk meningkatkan pencegahan terhadap ancaman Korea Utara.
USS Key West, kapal selam berkuasa nuklear AS, juga tiba di Korea Selatan pada Isnin untuk "lawatan berjadual" sebagai sebahagian daripada penempatannya ke rantau Indo-Pasifik.
Korea Utara telah lama mengecam latihan ketenteraan bersama antara Seoul dan Washington yang disifatkan sebagai latihan pencerobohan. Pihak sekutu menekankan bahawa latihan itu bersifat mempertahankan diri (defensive).
Awal hari ini Pak Jong-chon, setiausaha Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja yang memerintah Korea Utara, memberi amaran bahawa Korea Selatan dan AS akan menerima balasan yang "mengerikan" jika mereka memutuskan untuk menyerang Korea Utara.
Kementerian Luar Korea Utara juga mengancam AS pada Selasa untuk melaksanakan "langkah susulan yang lebih kuat" jika ia meneruskan provokasi ketenteraan "tanpa henti dan melulu".
-- BERNAMA