Korea Utara, Selatan setuju anjur Olimpik Musim Panas 2032
Isabelle Leong
September 19, 2018 13:11 MYT
September 19, 2018 13:11 MYT
Korea Utara dan Korea Selatan bersetuju untuk bersama menganjurkan Temasya Sukan Olimpik Musim Panas 2032, menurut laporan Associated Press.
Kedua-dua negara tersebut mencapai persetujuan berkenaan pada sidang kemuncak ketiga yang diadakan di Pyongyang sejak Selasa.
Sidang kemuncak tersebut kini memasuki hari kedua dan bertujuan menyambung semula rundingan berhubung penamatan sepenuhnya program nuklear dan peluru berpandu antara Korea Utara dan Amerika Syarikat (AS) yang tertangguh.
Sebelum ini, bandar Pyeongchang, Korea Selatan berpeluang menganjurkan Olimpik Musim Sejuk 2018 dan kedua-dua negara tersebut bersetuju untuk bertanding dalam satu acara di bawah satu bendera buat pertama kalinya dalam temasya tersebut, iaitu hoki ais wanita.