Korea Utara sahkan negara itu menguji peluru berpandu balistik antara benua "Hwasong-18"
Bernama
April 14, 2023 12:09 MYT
April 14, 2023 12:09 MYT
SEOUL: Korea Utara pada Jumaat berkata peluru berpandu yang digunakan dalam pelancarannya baru-baru ini merupakan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baharunya "Hwasong-18", dengan pemimpinnya Kim Jong Un mendakwa pelancaran itu meningkatkan dengan ketara kemampuan serangan balas nuklearnya.
Kim yang mengetuai pelancaran peluru berpandu itu pada Khamis berkata ICBM baharu secara radikal meningkatkan keberkesanan serangan balas nuklearnya dan secara praktik membawa perubahan dalam strategi ketenteraan ofensifnya," agensi berita Yonhap memetik media rasmi negara Korea Utara, Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
"Matlamat tembakan ujian itu adalah untuk mengesahkan prestasi enjin bahan api pepejal tujahan tinggi untuk peluru berpandu berbilang peringkat dan keandalan teknologi pemancutan berperingkat dan memastikan pelbagai sistem kawalan berfungsi dengan baik," kata KCNA.
"Tembakan ujian mengesahkan bahawa semua parameter sistem senjata strategik baharu memenuhi sepenuhnya keperluan reka bentuk daripada segi ketepatan," katanya.
Ia berkata peringkat pertama peluru berpandu itu mendarat di perairan 10 kilometer dari Daerah Kumya, Wilayah Hamgyong Selatan, manakala peringkat kedua jatuh di perairan 335 km timur Daerah Orang, Wilayah Hamgyong Utara.
Pemimpin Utara itu juga berkata Pyongyang akan meneruskan tindakan "menyerang" supaya musuhnya berada dalam keadaan bimbang melampau," sambil berkata ia "tugas strategik penting" untuk mengukuhkan kuasa nuklear negara itu, kata KCNA, tanpa mengulas lanjut.
-- BERNAMA