Korea Utara sahkan 21 kematian baharu akibat COVID-19

Agensi
Mei 14, 2022 12:45 MYT
Seorang petugas sedang menjalankan kerja sanitasi di sebuah kedai di Pyongyang. - AP
KOREA UTARA pada Sabtu melaporkan 21 kematian baharu dan 174,440 individu dengan simptom demam, ketika negara itu terus berusaha memperlahankan penularan COVID-19 dalam kalangan rakyatnya yang tidak divaksinasi.
Angka terbaru itu bertambah menjadi 27 kematian keseluruhan sejak Jumaat dan 524,440 yang dipercayai dijangkiti sejak penghujung April lalu, lapor AP.
Korea Utara dalam rantaian maklumat terbatas menyatakan, 243,630 orang telah sembuh manakala 280,810 lagi masih dalam kuarantin. Media kerajaan bagaimanapun tidak melaporkan dengan jelas berapa banyak daripada jumlah pesakit dan kematian itu disahkan sebagai kes COVID-19.
Buat masa ini, negara tersebut melaksanakan langkah pencegahan maksimum sejak mengenal pasti kes pertama COVID-19.
Selama dua tahun pandemik di seluruh dunia, Korea Utara mendakwa berjaya mengekang virus berkenaan daripada melepasi sempadannya.
Pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un dalam mesyuarat parti Politburo pada Sabtu menyifatkan penularan itu sebagai cabaran besar dalam sejarah, dan menyeru penyatuan antara kerajaan dan rakyat untuk menstabilkannya.
Mesyuarat berkenaan turut membincangkan tentang pengedaran bekalan perubatan yang digunakan dari rizab kecemasan.
Jong-Un yang berkata menyumbangkan bekalan perubatan persendiriannya untuk membantu kempen antivirus, menzahirkan keyakinan bahawa negaranya boleh mengawal penularan.
Beliau memberitahu para pegawainya supaya mengambil pengajaran daripada tindak balas negara lain, termasuk China, dalam menangani hal pandemik itu.
#Korea Utara #COVID-19 #pandemik #Kim Jong-un
;