Korea Utara lancar peluru berpandu paling jauh sejak 2017

Astro Awani
Januari 30, 2022 12:28 MYT
Korea Utara dilapor melakukan sekali lagi ujian sasaran peluru berpandu pada Ahad, kali ini dipercayai paling jauh sejak 2017. -REUTERS
SEOUL: Korea Utara dilapor melakukan sekali lagi ujian sasaran peluru berpandu pada Ahad, kali ini dipercayai paling jauh sejak 2017.
Tindakan itu diambil selepas kerajaan Jepun dan Korea Selatan melancarkan peluru berpandu balistik baru-baru ini.
Portal berita CNA memetik ketua turus bersama Korea Selatan sebagai berkata, misil yang dipercayai peluru berpandu balistik tunggal itu dilancarkan pada pukul 7.52 pagi waktu tempatan (6.52 pagi waktu Malaysia) dari wilayah Jagang Korea Utara.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Hirokazu Matsuno dalam satu temu bual di sebuah stesen televisyen tempatan memberitahu, sekiranya itu peluru berpandu balistik standard, maka ia boleh mencapai ketinggian hampir 2,000 kilometer (km) dan mampu terbang selama 30 minit sejauh 800 km.
Pyongyang menjalankan dua ujian senjata minggu lalu, dan telah menjalankan sekurang-kurangnya empat ujian senjata tambahan bulan ini, termasuk apa yang dipanggil peluru berpandu hipersonik pada 5 dan 11 Januari.
Dalam pada itu, penganalisis yakin, Jepun mampu melancarkan ujian peluru berpandu terbesar dalam tahun-tahun akan datang.
Korea Utara menangguhkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) sejak 2017, namun awal bulan ini, kerajaan Korea Utara membayangkan bahawa ia boleh menyambung semula ujian nuklear dan senjata jarak jauh itu.
Pakar peluru berpandu memberitahu, data menunjukkan peluru berpandu balistik jarak sederhana (IRBM) seperti Hwasong-12 yang kali terakhir diuji pada 2017 berkeupayaan terbang di antara 900 km hingga 5,600 km, sementara ICBM mempunyai jarak melebihi 5,600 km.
"Tidak kira sama ada ia IRBM atau ICBM, ini adalah sejenis peluru berpandu strategik dan jelas tidak sama dengan ujian terdahulu dalam siri ujian Januari 2022 setakat ini," ciap George William Herbert yang merupakan pensyarah di Pusat Kajian Nonproliferasi dan juga perunding peluru berpandu.
#Korea Utara #Pyongyang #peluru berpandu #balistik
;