Korea Utara lancar ICBM pada trajektori menegak, kata JCS

Bernama
Oktober 31, 2024 11:40 MYT
Peluru berpandu balistik Korea Utara dipercayai ICBM yang dilancarkan pada trajektori menegak. - Foto X/Todd Paron
SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang disyaki pada trajektori menegak ke arah Laut Timur pada Khamis, lapor agensi berita Yonhap, memetik kenyataan tentera Korea Selatan.
Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan berkata pelancaran itu dikesan pada sekitar 7.10 pagi waktu tempatan dari kawasan Pyongyang, Korea Utara.
"Peluru berpandu balistik Korea Utara dipercayai ICBM yang dilancarkan pada trajektori menegak," kata JCS dalam mesej teks kepada pemberita.
"Dalam kesiapsiagaan yang ditingkatkan, tentera kami mengekalkan kesiapsiagaan sepenuhnya sambil berkongsi maklumat balistik Korea Utara dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat dan Jepun," tambahnya.
Pelancaran ini berlaku hanya beberapa jam selepas ketua pertahanan Korea Selatan dan AS mengecam penghantaran tentera Korea Utara ke Rusia dengan "satu suara" dalam istilah terkuat semasa rundingan pertahanan tahunan di Pentagon pada Rabu.
Kali terakhir Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak pendek adalah pada 18 Sept manakala pelancaran ICBM terakhir berlaku pada 18 Dis.
-- BERNAMA
#ICBM #trajektori menegak #JCS #peluru berpandu balistik
;