Korea Utara lancar dua peluru berpandu balistik jarak dekat berhampiran pantai timur

Bernama
Julai 31, 2019 11:50 MYT
Orang awam di stesen kereta api Seoul menyaksikan siaran TV yang menunjukkan imej peluru berpandu yang dilancarkan Korea Utara, 31 Julai, 2019. (Foto AP)
Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat berhampiran pantai timurnya pada Rabu, yang kedua seumpamanya dalam tempoh kurang seminggu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS).
Peluru berpandu pertama dilancarkan pada pukul 5.06 pagi manakala yang kedua pada pukul 5.27 pagi dari kawasan Kalma berhampiran pelabuhan timur Wonsan, menurut JCS.
Kedua-duanya dianggarkan terbang sejauh kira-kira 250 kilometer pada ketinggian 30 kilometer, kata JCS sambil menambah bahawa tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) kini menganalisis butiran lanjut.
Menteri Pertahanan Jeong Kyeong Doo berkata peluru berpandu itu dikenal pasti sebagai jenis yang berbeza daripada model sebelumnya yang dilancarkan Korea Utara, namun tidak mengulas lanjut.
Pelancaran itu dilakukan enam hari selepas Korea Utara menembak dua peluru berpandu balistik jarak dekat dari kawasan yang sama ke arah Laut Timur dalam tindakan yang dilihat sebagai provokasi pertamanya sejak Mei, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai prospek rundingan pembasmian senjata nuklear antara AS dan Korea Utara.
"Pelancaran peluru berpandu secara berturut-turut oleh Korea Utara adalah tidak kondusif kepada usaha mengurangkan ketegangan di Semenanjung Korea dan kami menggesa agar tindakan ini dihentikan," kata JCS dalam satu kenyataan.
Peluru berpandu yang dilancarkan minggu lepas terbang sejauh 600 kilometer dan telah dikenal pasti sebagai versi Korea Utara bagi model Iskander Rusia, jenis peluru berpandu balistik jarak dekat, darat ke darat yang digelar sebagai KN-23, yang diuji tembak pada Mei.
Sementara itu, AS memberikan maklum balas dengan berhati-hati.
"Kami menyedari laporan mengenai pelancaran peluru berpandu oleh Korea Utara dan kami akan terus memantau situasi itu," kata seorang jurucakap Jabatan Negara AS kepada Yonhap yang enggan dikenali.
BACA: Pertemuan bersejarah! Trump dan Jong-un berjabat tangan
Siri pelancaran itu berlaku semasa Washington berusaha memulakan semula rundingan peringkat kerja mengenai pembongkaran senjata nuklear Korea Utara dan program peluru berpandu balistik selaras dengan perjanjian yang dicapai antara Presiden AS Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un bulan lepas.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Jeong Kyeong Doo #Kim Jong Un #Korea Selatan #Korea Utara #Menteri Pertahanan #model baharu #peluru berpandu balistik #senjata nuklear #tembak
;