Korea Utara, Korea Selatan berbalas tembak di Laut Kuning
Astro Awani
Mac 31, 2014 12:42 MYT
Mac 31, 2014 12:42 MYT
Korea Utara dan Korea Selatan hari ini berbalas tembak di kawasan sempadan perairan yang dipertikaikan dengan pihak tentera Korea Selatan mengatakan ia bertindak balas terhadap bom yang jatuh ke kawasan perairannya dari kawasan latihan tentera Korea Utara.
"Sebahagian daripada bom yang dilepaskan oleh Korea Utara jatuh ke kawasan kami dan kami membalasnya dengan tembakan," kata jurucakap ketua turus angkatan tentera Korea Selatan kepada AFP.
Tidak ada sebarang petunjuk kedua-dua pihak mensasarkan sasaran tertentu.
Pihak berkuasa di Pulau Yeonpyeong dan Baengnyeong memaklumkan penduduk terlibat sudah dipindahkan ke tempat perlindungan sebagai langkah berjaga-jaga.
Latihan menembak Korea Utara bermula pada pukul 12.15 tengahari waktu tempatan (11.15 pagi waktu Malaysia) dan pihak Korea Selatan membalas tembakan dalam masa setengah jam.
"Buat masa ini, kedua-dua belah pihak masih berbalas tembak di laut," kata jurucakap tentera itu.
Korea Utara menjalankan latihan secara berkala tetapi, tidak seperti sebelumnya, ia memaklumkan latihan hari ini lebih awal kepada Korea Selatan.
Pihak Korea Selatan memberi amaran ia akan bertindak balas sekiranya peluru jatuh ke kawasan sempadannya.
Sempadan Laut Kuning merupakan kawasan yang sangat sensitif di rantau itu yang pernah menyaksikan beberapa pertempuran sebelum ini.
Pada November 2010, Korea Utara mengebom Pulau Yeonpyeong membunuh empat orang dan mencetuskan kebimbangan konflik ituakan merebak jadi lebih buruk.
"Matlamatnya ialah untuk menakut-nakutkan kami dan meningkatkan ketegangan di sempadan Laut Kuning dan seluruh semenanjung Korea," kata jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Wi Yong-Seop kepada wartawan sebelum latihan Korea Utara itu bermula.
"Bahawa mereka menghantar notis kepada kami menunjukkan niat yang tidak baik," kata Wi.
Insiden berbalas tembak ini berlaku sehari selepas Korea Utara mengancam hendak menjalankan ujian nuklear "bentuk baru" yang dilihat mungkin merujuk kepada usahanya membangunkan senjata nuklear.
Pyongyang menjalankan siri ujian roket dan peluru misil jarak dekat dalam masa beberapa minggu yang lalu sebagai membantah latihan ketenteraan tahunan bersama Korea Selatan dan Amerika Syarikat.