Korea Utara jalankan latihan simulasi tindak balas nuklear
Bernama
Mac 20, 2023 12:20 MYT
Mac 20, 2023 12:20 MYT
SEOUL: Korea Utara pada Isnin memaklumkan pihaknya menjalankan latihan simulasi serangan balas nuklear taktikal pada hujung minggu, ketika Amerika Syarikat dan Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan tahunan mereka.
Pemimpin Utara Kim Jong Un 'mengetuai' latihan itu, termasuk latihan pelancaran peluru berpandu balistik yang direka untuk mengesahkan operasi peranti kawalan nuklear dan peledak, lapor agensi berita Yonhap, memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Foto oleh media kerajaan memaparkan anak perempuannya Ju Ae turut menyelia latihan berkenaan.
Beliau "menekankan keperluan supaya kakitangan perkhidmatan membiasakan diri dengan sebarang keadaan yang tidak dijangka dan menjadikan mereka lebih bersedia dalam postur aktif untuk membuat serangan balas nuklear pada bila-bila masa," lapor KCNA.
Kim juga membentangkan "orientasi pembinaan tenaga nuklear dan tugas-tugas strategik yang perlu dipenuhi dalam menyediakan tenaga nuklear untuk peperangan," katanya tanpa mengulas lanjut.
AS dan Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan Freedom Shield yang dijadualkan berlangsung hingga Khamis, bertujuan untuk mengukuhkan postur pertahanan terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.
-- BERNAMA
#simulasi serangan balas nuklear taktikal
#latihan kententeraan
#Kim Jong Un
#peluru berpandu balistik