Korea Utara hantar bantuan kepada 800 keluarga tangani wabak usus
Agensi
Jun 17, 2022 22:00 MYT
Jun 17, 2022 22:00 MYT
PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan pegawai kanannya yang lain menyediakan bantuan untuk dihantar kepada 800 keluarga yang dijangkiti wabak usus yang tidak dikenal pasti, lapor media kerajaan pada Jumaat.
Negara itu ketika ini masih bertarung untuk menurunkan kes COVID-19.
Korea Utara mendedahkan minggu ini mereka sedang menghadapi wabak acute enteric, namun tidak menghuraikan penyakit itu dengan lanjut, tetapi ia dipercayai merujuk kepada saluran gastrousus.
"Pegawai menyediakan ubat-ubatan, bahan makanan dan keperluan harian yang diperlukan untuk rawatan kepada penduduk di Bandar Haeju dan Daerah Kangryong (Wilayah Hwanghae Selatan)," lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).
Kim mengarahkan pegawai-pegawainya untuk segera menjalankan tugas meringankan beban dan kesukaran rakyat negara itu.
Pada Khamis, seorang pegawai di Kementerian Penyatuan Korea Selatan berkata Seoul sedang memantau wabak itu, yang disyaki kolera atau kepialu.
Wilayah Hwanghae Selatan ialah wilayah pertanian utama Korea Utara dan wabak itu menimbulkan kebimbangan kekurangan makanan yang kronik di tengah-tengah gelombang jangkitan COVID-19.
Korea Utara telah melaporkan bilangan pesakit yang mengalami simptom demam, namun tidak mengesahkannya sebagai kes COVID-19, yang dipercayai disebabkan oleh kurang keupayaan untuk melakukan ujian berskala besar.
KCNA pada Jumaat melaporkan 23,160 lagi individu mengalami simptom demam, menjadikan jumlah keseluruhan di negara itu sejak akhir April melebihi 4.58 juta. Jumlah kematian yang dikaitkan dengan wabak itu ialah 73 orang.
Negara itu sebelum ini melaporkan situasi COVID-19 telah menunjukkan tanda untuk reda, tetapi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meragui kenyataan Pyongyang dengan mengatakan mereka percaya keadaan semakin buruk.