Korea Utara didakwa lebih berani sejak perang Ukraine tercetus

Astro Awani
Februari 19, 2023 08:45 MYT
Park Jin beri amaran perang di Ukraine telah menyebabkan Korea Utara menjadi lebih berani. -Gambar fail/Reuters
MENTERI Luar Korea Selatan, Park Jin pada Sabtu beri amaran bahawa perang di Ukraine telah menjadikan Korea Utara lebih berani.
Komennya dibuat selepas Korea Utara melepaskan peluru berpandu jarak jauh dari ibu negaranya ke laut Jepun.
Kata Park Jin, serangan bersenjata Rusia ke atas Ukraine dan perhatian global terhadap perang di Eropah menjadikan rejim Kim Jong Un di Korea Utara lebih berani melakukan beberapa pelancaran peluru berpandu yang agresif termasuk ICBM.
Park Jin berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Keselamatan Munich di Jerman.
Beliau memberi amaran jika Pyongyang menjalankan ujian nuklear ketujuh,ia bakal mengubah keadaan dengan memberi maksud bahawa Korea Utara boleh membangunkan dan menggunakan peluru berpandu nuklear taktikal.
Pelancaran peluru berpandu pada Sabtu itu adalah yang pertama oleh Korea Utara sejak 1 Januari lalu selepas ia menguji senjata jarak dekat.
Ia susulan perarakan tentera besar-besaran di Pyongyang minggu lalu di mana Korea Utara melancarkan lebih daripada 10 ICBM dengan disaksikan pemimpin Kim Jong Un.
Bilangan pelancaran ujian peluru berpandu yang tidak pernah berlaku sebelum ini menunjukkan tahap terkini keupayaan ketenteraan Korea Utara walaupun dengan sumber yang terhad.
Sementara itu, rundingan Korea Utara dengan Amerika Syarikat (AS) masih menemui jalan buntu.
Korea Utara mencatat rekod demonstrasi senjata dengan lebih 70 peluru berpandu balistik dilancarkan, termasuk yang berpotensi untuk sampai ke AS.
#Korea Utara #Korea Selatan #Park Jin
;