Korea Utara cadang rundingan dengan Korea Selatan untuk hindar peperangan

Agensi
Mei 22, 2016 08:00 MYT
Seorang anggota tentera Korea Selatan berkawal di sebuah pos kawalan bersempadan Korea Utara. - Gambar fail
Korea Utara pada Sabtu bercadang mengadakan rundingan awal dengan Korea Selatan melibatkan topik ketenteraan, yang dikatakan ‘dapat menghindarkan perang Korea kedua’.
Dialog ketenteraan pada mulanya ditawarkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un dalam ucapannya sempena perhimpunan Kongres Parti Pekerja pada awal bulan ini, namun Seoul melihat pelawaan itu sebagai helah untuk mengalihkan isu.
Pyongyang mengumumkan tawaran mengenai rundingan berkenaan pada Jumaat lalu, namun ditolak oleh Seoul pada hari yang sama.
Tidak berputus harap, Korea Utara pada Sabtu mendesak untuk melaksanakan pertemuan bagi rundingan awal.
“Kami bercadang untuk melaksanakan dialog di peringkat kerjasama terbuka antara pihak berkuasa tentera utara dan selatan pada tarikh dan tempat yang dipersetujui kedua-dua belah pihak pada penghujung Mei atau awal Jun.
“Ia merupakan isu penting yang secara langsung berkait dengan kewujudan bangsa Korea, sekali gus meredakan ketegangan ketenteraan dan pengekang kemungkinan perang Korea kedua,” ujar kenyataan daripada Kementerian Pertahanan Korea Utara.
Seoul bertegas hanya akan mempertimbangkan untuk turut serta dalam dialog dengan Pyongyang jika rejim Utara mengambil langkah menghentikan penggunaan senjata nuklear.
Korea Utara sebelum ini mengulangi pendiriannya bahawa isu senjata nuklearnya bukan untuk dirundingkan.
#Korea Selatan #Korea Utara #Pyongyang #rundingan ketenteraan #Seoul
;