Korea Utara buka semula sempadan kerana masalah ekonomi - Seoul
Bernama
Ogos 28, 2023 12:16 MYT
Ogos 28, 2023 12:16 MYT
SEOUL: Korea Utara membuka semula sempadannya yang ditutup lebih tiga tahun untuk mengekang wabak COVID-19, sebahagian besarnya disebabkan cabaran ekonomi yang dihadapinya akibat penutupan sempadan, kata Kementerian Penyatuan Korea Selatan pada Isnin.
Korea Utara pada Ahad membenarkan warganya di luar negara pulang ke tanah air dan akan dikuarantin selama seminggu.
Menurut agensi berita Yonhap, keputusan pembukaan sempadan itu merupakan pembukaan rasmi sempadan regim rahsia itu.
"Disebabkan penutupan sempadan, Korea Utara dipercayai menghadapi pelbagai kesukaran ekonomi, termasuk pertukaran kakitangan yang disekat," kata jurucakap kementerian Koo Byoung Sam pada taklimat akhbar.
Namun, kementerian itu melihat langkah terbaharu Utara itu sebagai "pembukaan terhad sempadannya" kerana Utara hanya meluluskan kepulangan warganegaranya tanpa menyebut mengenai kemasukan warga asing.
Berdasarkan keputusan terbaru itu, lebih ramai diplomat Korea Utara, pekerja dan pelajar yang tinggal di negara asing dijangka kembali ke Utara.
Wujud juga kebimbangan bahawa pembelot Korea Utara di China akan dihantar pulang secara paksa ke Utara.
Kementerian Penyatuan itu menyatakan "kebimbangan besar" mengenai kemungkinan penghantaran pulang pembelot Korea Utara yang ditangkap dan ditahan di China.
"Kami ingin menegaskan sekali lagi bahawa pembelot seperti itu tidak seharusnya dihantar semula secara paksa ke Utara di luar kehendak mereka. Kehendak mereka harus dihormati," kata Koo.
Korea Utara menutup sempadannya pada Januari 2020 sebagai langkah "kecemasan maksimum antiwabak" pada Mei 2022 apabila negara itu melaporkan kes pertama COVID-19.
Korea Utara baru-baru ini membenarkan atletnya menyeberangi sempadan ke China untuk mengambil bahagian dalam Kejohanan Dunia Taekwon-Do ITF di Kazakhstan selain menyambung semula operasi penerbangan komersial dengan China dan Rusia minggu lepas. - BERNAMA