Korea Utara berjaya bangunkan sistem kawalan pelancar roket baharu
Agensi
Februari 12, 2024 11:15 MYT
Februari 12, 2024 11:15 MYT
SEOUL: Korea Utara berjaya membangunkan sistem kawalan roket balistik baharu untuk pelancar roket berganda bersama peluru yang boleh dikawal.
Akademi Sains Pertahanan menjalankan ujian "kawalan balistik" tembakan peluru pelancar roket berkaliber 240 mm yang boleh dikawal, pada Ahad.
KCNA melaporkan, nilai strategik pelancar roket berkaliber 240 mm akan "dikaji semula" peranannya dalam medan perang kerana "peningkatan teknikal yang pesat."
Pembangunan peluru dan sistem kawalan balistik akan membuat "perubahan kualitatif" dalam pasukan pelancar roket berbilang tenteranya.
Pelancaran pada Ahad dibuat di tengah-tengah ujian peluru berpandu berganda oleh Korea Utara dalam beberapa minggu kebelakangan ini dan hubungan yang semakin meningkat antara Pyongyang dan Moscow.
Tindakan itu telah dikritik oleh Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya sebagai ketegangan yang semakin meningkat di Semenanjung Korea.
Korea Utara menuduh AS dan Korea Selatan meningkatkan ketegangan dengan latihan ketenteraan berskala besar mereka.
Korea Utara yang mempunyai senjata nuklear mengisytiharkan Korea Selatan sebagai "musuh utamanya."
Pada Jumaat, pemimpin Kim Jong Un mengulangi amaran bahawa Pyongyang tidak akan teragak-agak untuk "menamatkan" Korea Selatan jika diserang.
Beliau turut menggelar Seoul sebagai "negara musuh yang paling berbahaya dan pertama serta musuh ketat yang tidak berubah."
Pada bulan Januari lalu, Korea Utara melepaskan tembakan artileri berhampiran dua pulau sempadan Korea Selatan, mendorong latihan tembakan langsung oleh Korea Selatan dan perintah pemindahan untuk penduduk.
Jong Un juga telah meningkatkan ujian senjata, termasuk pelancaran peluru berpandu jelajah tahun ini.
Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol berikrar akan bertindak balas jika Pyongyang menyerang dan menyeru tenteranya untuk "bertindak dahulu dan lapor kemudian" jika diprovokasi.
Suk Yeol telah memperkukuh kerjasama pertahanan dengan AS dan Jepun sejak memegang jawatan pada 2022, termasuk memperluaskan latihan bersama untuk mengatasi ancaman Pyongyang yang semakin meningkat. - Agensi