Korea Utara beri amaran kembalikan polisi nuklear

Agensi
November 4, 2018 17:20 MYT
Jong Un kembali menggunakan polisi nuklear sebagai amaran buat Washington. - Gambar fail
Korea Utara memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa negara pimpinan Kim Jong Un itu akan mempertimbangkan semula polisi membina senjata nuklear jika Washington tidak menghentikan sekatan ekonomi ketat terhadap rejim itu.
Selama bertahun-tahun, Korea Utara melaksanakan polisi ‘byungjin’ yang menyaksikan negara itu membangunkan kemampuan nuklear seiring ekonomi.
Pada April, seiring ‘iklim baharu yang aman’ di Semenanjung Korea, Jong Un mengumumkan misi nuklearnya sudah lengkap dan hanya mahu memberi tumpuan kepada ‘ekonomi sosialis’.
Namun, satu kenyataan daripada Kementerian Luar Korea Utara, memberitahu Pyongyang boleh kembali meneruskan polisi lama jika AS tidak mengubah pendirian mengenai isu sekatan ekonomi.
“Perkataan 'byungjin' akan muncul semula dan perubahan arah pentadbiran boleh dipertimbangkan kembali,” ujar kenyataan itu seperti yang disiarkan berita KCNA pada Jumaat.
Sewaktu sidang kemuncak bersejarah di Singapura pada Jun lalu, Presiden AS Donald Trump dan Jong Un telah menandatangani persetujuan bersama berkaitan denuklearisasi.
Begitupun, tidak banyak perkembangan yang berlaku selepas itu, lebih-lebih lagi apabila Washington mengekalkan sekatan ekonomi ke atas Korea Utara.
AS mendakwa, Pyongyang tidak memberikan bukti sebenar program nyahnuklear itu sudah sepenuhnya dilaksanakan.
#awashington #Donald Trump #Kim Jong Un #nuklear #polisi #Pyongyang
;