Korea Selatan umum hasil analisis pelan pelepasan air sisa loji nuklear Fukushima esok
Bernama
Julai 6, 2023 13:47 MYT
Julai 6, 2023 13:47 MYT
SEOUL: Korea Selatan akan mengumumkan analisis mengenai rancangan pelepasan air radioaktif yang dirawat daripada loji Fukushima ke lautan pada Jumaat, timbalan ketua pertama Pejabat Penyelarasan Dasar Kerajaan, Park Ku-yeon.
Hasil analisis saintifik mengenai pelan pelepasan, berdasarkan pemeriksaan di tapak loji yang telah disiapkan pada akhir Mei serta data lain yang berkaitan akan didedahkan pada taklimat harian Jumaat, lapor Yonhap.
Pada Selasa, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengumumkan bahawa semakan selama dua tahun mendapati rancangan Jepun untuk mengalirkan air dari loji ke laut adalah konsisten dengan piawaian keselamatan. Badan pemerhati nuklear itu juga memaklumkan air terawat itu akan memberi kesan radiologi yang tidak signifikan kepada manusia dan alam sekitar.
Pengumuman itu juga bertepatan dengan lawatan tiga hari Ketua Pengarah IAEA Rafael Mariano Grossi ke Korea Selatan, bermula Jumaat, selepas lawatannya selama empat hari ke Jepun.
Sebagai tindak balas kepada kebimbangan awam yang semakin meningkat, Seoul melancarkan taklimat media harian bulan lepas untuk memastikan orang ramai mendapat maklumat terkini mengenai rancangan pelepasan air tercemar dari loji itu, yang terjejas teruk akibat gempa bumi dan tsunami besar pada 2011.
-- BERNAMA