Korea Selatan teruskan misi cari serpihan roket pengintip Korea Utara

Astro Awani
Jun 4, 2023 01:00 MYT
Foto dipercayai menunjukkan sebahagian jentera pelancar angkasa lepas yang terjatuh ke dalam laut pada 31 Mei 2023. - Foto REUTERS
Tentera Korea Selatan hari ini akan meneruskan operasi untuk mengesan dan mendapatkan serpihan roket Korea Utara yang terhempas di Laut Kuning awal minggu ini.
Dalam mesej teks yang dihantar kepada pemberita tentera Korea Selatan berkata, ia menangguhkan operasi pada Sabtu berikutan arus deras dan disambung semula pada Ahad.
Menurut Pengarah Hal Ehwal Awam, ketua turus bersama kakitangan Korea Selatan, Kolonel Lee Sung-Jun, bergantung kepada kemajuan operasi, pihaknya boleh mendapatkan serpihan roket seawal Ahad.
Media Korea Utara sebelum ini melaporkan, ia melancarkan roket pembawa satelit pada Rabu tetapi terhempas ke dalam laut kerana enjin peringkat kedua tidak beroperasi secara normal.
Pasukan penyelam memasang tali pada serpihan roket sepanjang 15 meter, yang tenggelam pada kedalaman 75m dari dasar laut.
Chollima-1, dianggarkan sepanjang antara 29 hingga 30m dan tiga kapal penyelamat dikerah untuk melaksanakan operasi itu.
Serpihan yang dikesan oleh tentera Korea Selatan pada Rabu dipercayai serpihan roket peringkat kedua dan ketiga pelancar.
Pegawai berkata terdapat kemungkinan untuk menemui satelit peninjau tentera, Malligyong-1, yang dipasang pada roket itu.
#Serpihan roket #Korea Selatan #Korea Utara #misi pencarian