Korea Selatan tarik balik syarat ujian PCR selepas ketibaan bagi pelawat dari China

Bernama
Februari 22, 2023 13:01 MYT
Kerajaan juga membenarkan penerbangan dari China mendarat di lapangan terbang lain selain Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, di barat Seoul. - Gambar hiasan/Bernama
SEOUL: Korea Selatan menarik balik syarat ujian PCR selepas ketibaan bagi pelancong dari China mulai Mac berikutan situasi COVID-19 kekal stabil, kata seorang pegawai pada Rabu.
Namun syarat ujian praketibaan kekal sehingga 10 Mac bagi memantau kesan sekatan yang dilonggarkan itu, kata Kim Sung-ho, pegawai kanan kementerian dalam negeri pada sesi mesyuarat respons COVID-19.
"Kami percaya pelonggaran tambahan langkah kuarantin boleh dilaksanakan," lapor Yonhap memetik kenyataan beliau.
Sejak awal Januari lepas, Korea Selatan mewajibkan pelancong dari China mengemukakan keputusan ujian COVID-19 negatif sebelum menaiki penerbangan ke Korea Selatan dan mengambil ujian PCR tambahan pada hari pertama ketibaan mereka ekoran lonjakan jangkitan COVID-19 di negara jiran terbabit.
Korea Selatan menarik balik sekatan satu demi satu apabila situasi di China kembali stabil,
Kerajaan juga membenarkan penerbangan dari China mendarat di lapangan terbang lain selain Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, di barat Seoul, menurut Ibu Pejabat Pencegahan Bencana dan Keselamatan Pusat.
Keputusan itu diambil setelah kadar orang positif COVID-19 dalam kalangan ketibaan dari China merosot kepada 0.6 peratus pada minggu ketiga Februari berbanding 18.4 peratus pada minggu pertama Januari, katanya.
Pada 11 Feb, Korea Selatan meneruskan pengeluaran visa jangka pendek untuk pelawat China dan pada Sabtu China juga kembali meluluskan visa jangka pendek untuk warga Korea Selatan.
Pegawai itu berkata kerajaan juga akan menambah penerbangan antara Korea Selatan dan China daripada 62 seminggu kepada 80 seminggu menjelang akhir bulan ini dan kepada 100 seminggu pada Mac.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #pelancong #COVID-19 #pcr #China
;