Korea Selatan tambah dana bantu negara membangun tangani kesan perubahan iklim
Bernama
Oktober 27, 2022 12:16 MYT
Oktober 27, 2022 12:16 MYT
SEOUL: Perdana Menteri Korea Selatan Han Duck Soo berkata Korea Selatan akan meningkatkan pembiayaannya untuk membantu negara membangun mengurangkan kesan perubahan iklim.
"Korea Selatan akan menyokong kuat usaha negara membangun untuk tindak balas terhadap perubahan iklim dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau," kata Han di persidangan mengenai dialog mampan rantau Pan-Pasifik pada Khamis, lapor Yonhap.
Beliau berkata Korea Selatan akan meningkatkan bantuan luar negaranya untuk kewangan iklim dan mengembangkan pembiayaannya bagi Green Climate Fund, sebuah pertubuhan antarabangsa memerangi perubahan iklim.
Dunia mesti mempunyai barisan hadapan yang bersatu untuk "pemulihan hijau" bagi menjamin kemampanan serta daya tahan, katanya.
Korea Selatan akan berkongsi pengalaman serta teknologinya dengan negara membangun untuk membantu mereka beralih kepada ekonomi rendah karbon dan membangunkan sumber tenaga boleh diperbaharui.
-- BERNAMA