Korea Selatan: Sistem pencatuan pelitup muka dijangka ditamatkan bulan ini

Bernama
Jun 15, 2020 13:17 MYT
Bermula minggu ini had pembelian mingguan pelitup muka dinaikkan kepada 10 keping setiap orang berbanding tiga sebelum ini. - Gambar hiasan
Isu had pembelian pelitup muka di Korea Selatan dijangka selesai tidak berapa lama lagi, lapor agensi berita Yonhap memetik pegawai kerajaan pada Ahad.
Ketika harga pelitup muka meningkat di tengah-tengah penularan wabak COVID-19 Februari lalu, Korea Selatan memperkenalkan sistem pencatuan.
Sistem itu bertujuan menangani jumlah permintaan yang melambung tinggi, di bawah sistem pencatuan rakyat dibenarkan membeli pelitup muka dengan jumlah terhad setiap minggu pada harga 1,500 won (US$ 1.26).
"Pencatuan akan ditamatkan jika tiada lagi masalah berkaitan stok," kata pegawai itu.
Permintaan pelitup muka menurun mendadak baru-baru ini, selepas menyaksikan kes jangkitan COVID-19 berkurangan manakala stok barangan itu terus meningkat.
Sehingga bulan ini, pengeluaran harian pelitup muka mencecah 18 juta, kira-kira tiga kali ganda pengeluaran pada Januari.
Menjelang sistem pencatuan ditamatkan, bermula minggu ini had pembelian mingguan dinaikkan kepada 10 keping setiap orang berbanding tiga sebelum ini.
Namun, kerajaan akan menyimpan stok memastikan permintaan dapat dipenuhi jika berlaku keadaan di luar jangka.
-- BERNAMA
#COVID-19 #had pembelian #kerajaan #kes jangkitan #Korea Selatan #koronavirus #pelitup muka #pencatuan #permintaan menurun #rakyat #stok
;