Korea Selatan siap sedia lancar roket buatan sendiri dengan 8 satelit

Bernama
Mei 24, 2023 15:41 MYT
Pelancaran yang berjaya akan mengesahkan kemampuan Korea Selatan dalam mengendalikan kenderaan angkasa untuk membawa satelit muatan ke orbit sasaran. - Gambar fail/Reuters/Yuriko Nakao
SEOUL: Korea Selatan bersiap sedia untuk melancarkan roket buatan sendiri Nuri dalam misi menempatkan lapan satelit ke orbit.
Nuri seberat 200 tan dijadual berlepas dari Pusat Angkasa Naro di perkampungan pantai selatan negara itu, Goheung kira-kira 6.24 petang, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik Kementerian Sains dan ICT dan Institut Penyelidikan Aeroangkasa Korea (KARI).
Dalam mesyuarat jawatankuasa pengurusan pelancaran Nuri pada Selasa, kementerian sains dan KARI merumuskan pemeriksaan teknikal terakhir Nuri berjalan tanpa sebarang masalah. Ramalan cuaca juga memenuhi syarat pelancaran.
Pelancaran yang berjaya akan mengesahkan kemampuan Korea Selatan dalam mengendalikan kenderaan angkasa untuk membawa satelit muatan ke orbit sasaran.
Kali ini, Nuri juga dikenali sebagai KSLV-II, dimuatkan dengan lapan satelit praktikal yang mempunyai misi masing-masing di angkasa, manakala satelit tiruan dan satelit pengesahan prestasi untuk menguji keupayaan roket itu berada di atas kapal dalam pelancaran sebelum ini.
Pelancaran ketiga Nuri didorong hasil kejayaan percubaan kedua pada Jun tahun lalu.
Kejayaan Nuri memasuki orbit membawa satelit tiruan menjadikan Korea Selatan muncul negara ketujuh di dunia yang melancarkan roket dengan muatan satu tan ke angkasa lepas, selepas Russia, Amerika Syarikat, Perancis, China, Jepun dan India.
Projek Nuri bernilai 2 trilion won (US$1.52 bilion) yang bermula pada 2010 akan diteruskan sehingga 2027, dengan tiga pelancaran roket tambahan.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #satelit #roket buatan sendiri #Nuri
;