Korea Selatan sertai perjanjian ekonomi digital antarabangsa

Bernama
Jun 9, 2023 04:00 MYT
Perjanjian itu bermula pada Januari 2021 dan Korea Selatan memohon untuk menyertai perjanjian itu pada September tahun yang sama. - Foto fail/REUTERS
SEOUL: Korea Selatan menyertai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital (DEPA), rakan kongsi pertama pakatan yang diasaskan oleh Chile, New Zealand dan Singapura, dalam usaha mengembangkan rangkaian perdagangan digitalnya, Menurut Kementerian Industri Seoul pada Jumaat.
Sebagai pakatan digital plurilateral pertama di dunia, DEPA memperjuangkan pelaksanaan peraturan utama dalam isu perdagangan digital seperti identiti digital, aliran data rentas sempadan dan kecerdasan buatan.
Perjanjian itu bermula pada Januari 2021 dan Korea Selatan memohon untuk menyertai perjanjian itu pada September tahun yang sama.
Pada Khamis, Menteri Perdagangan Korea Selatan Ahn Duk-geun bertemu rakan sejawatannya daripada tiga anggota pengasas DEPA di Paris di luar mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, dan memuktamadkan perbincangan untuk Seoul menyertai pakatan itu, lapor Agensi Berita Yonhap memetik kenyataan Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga.
"DEPA mewujudkan pendekatan dan kerjasama baharu dalam isu perdagangan digital, menggalakkan kesalingoperasian antara rejim berbeza dan menangani isu baharu yang ditimbulkan oleh pendigitalan," menurut kenyataan akhbar bersama itu.
"Korea Selatan telah membuktikan pematuhannya terhadap piawaian tinggi perjanjian itu. Terdapat potensi yang sangat baik untuk DEPA bekerjasama dalam projek berkepentingan bersama dalam bidang seperti invois elektronik, perlindungan pengguna, pertukaran dokumen perdagangan elektronik dan pemindahan data rentas sempadan," menurut kenyataan itu.
Korea Selatan berusaha untuk memuktamadkan prosedur domestik bagi penyertaan itu supaya ia dikuatkuasakan tahun ini.
China, Kanada, Costa Rica dan Peru telah mengemukakan permintaan rasmi untuk menyertai DEPA, dengan proses rasmi untuk penyertaan China dan Kanada sedang dijalankan.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #DEPA #Perjanjian Perkongsian Ekonomi Digital #rangkaian perdagangan digital
;