Korea Selatan rekod 11 kes mpox

Bernama
Ogos 26, 2024 13:20 MYT
Sebanyak 11 kes mpox dilaporkan di Korea Selatan setakat ini, semuanya varian Clade II yang kurang berbahaya. -Gambar fail/Reuters
SEJONG: Sebanyak 11 kes mpox dilaporkan di Korea Selatan setakat ini, namun semua kes yang dikesan merupakan varian Clade II yang kurang berbahaya, lapor Agensi Berita Yonhap memetik pihak berkuasa kesihatan.

Ringkasan AI
  • Sebanyak 11 kes mpox dilaporkan di Korea Selatan setakat ini, semuanya varian Clade II yang kurang berbahaya.
  • Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mempertingkatkan saringan di sempadan untuk menghadapi kemungkinan kemunculan varian baharu yang lebih berbahaya dan menetapkan semula mpox sebagai penyakit berjangkit yang tertakluk kepada pemeriksaan sempadan.
  • Pelancong dari lapan negara Afrika dikehendaki melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengalami gejala mpox seperti demam, sakit otot, dan pembengkakan kelenjar limfa.

Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) pada Isnin memaklumkan bahawa pihaknya mempertingkatkan saringan di sempadan untuk menghadapi kemungkinan kemunculan varian baharu yang lebih berbahaya.
Korea Selatan melaporkan 151 kes mpox pada tahun lalu.
Kebanyakan pesakit adalah lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun di kawasan metropolitan Seoul.
"Memandangkan mpox adalah penyakit yang boleh dicegah dan dirawat, kami percaya bahawa wabak ini boleh dikendalikan dengan stabil di bawah sistem semasa," menurut KDCA.
Awal bulan ini, KDCA memutuskan untuk menetapkan semula mpox sebagai penyakit berjangkit yang tertakluk kepada pemeriksaan sempadan.
Pelancong yang tiba dari lapan negara Afrika iaitu Rwanda, Burundi, Uganda, Ethiopia, Republik Afrika Tengah, Kenya, Congo dan Republik Congo dikehendaki melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengalami gejala yang berkaitan dengan mpox seperti demam, sakit otot dan pembengkakan kelenjar limfa.
-- BERNAMA
#mpox #varian baharu #Korea Selatan #varian clade II