Korea Selatan pindahkan 97 rakyatnya dari Lubnan

Astro Awani
Oktober 6, 2024 08:15 MYT
Pesawat membawa rakyat Korea Selatan dari Lubnan ketika tiba di sebuah lapangan terbang tentera di selatan ibu negara Seoul. - Foto AP
SEOUL: Sebuah pesawat pengangkut tentera Korea Selatan membawa pulang 97 rakyatnya dan ahli keluarga dari Lubnan berikutan ketegangan yang semakin memuncak di negara itu.
Kementerian Luar Korea Selatan maklumkan, kesemua mereka tiba di Korea Selatan pada petang Sabtu.
Pesawat KC-330 mendarat di Beirut pada Jumaat dan berlepas pada sebelah petang bersama rakyat Korea Selatan, termasuk ahli keluarga warga Lubnan.
Pesawat tersebut itu tiba di sebuah lapangan terbang tentera di selatan ibu negara Seoul.
Rabu lalu, Presiden Yoon Suk Yeol mengarahkan pesawat tentera dihantar segera bagi mengangkut warganya dari bahagian Asia Barat yang terjejas akibat ketegangan yang meningkat dalam konflik antara Israel dan Hezbollah.
Kerajaan akan mengambil tindakan lanjut bagi memastikan keselamatan warganya, tambah kenyataan kementerian tanpa memberi perincian lanjut.
Agensi berita Yonhap melaporkan, diplomat Korea Selatan yang ditempatkan di Lubnan bagaimanapun kekal berada di negara tersebut.
Beberapa negara di seluruh dunia kini bersiap sedia dengan pelan kecemasan untuk memindahkan rakyat mereka dari Lubnan setelah ketegangan meningkat dengan ketara dalam konflik antara Israel dan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran.
Britain misalnya telah menyewa sejumlah pesawat untuk membolehkan 150 rakyatnya meninggalkan Lubnan.
Amerika Syarikat (AS) telah mengerahkan berpuluh-puluh anggota tentera ke Cyprus bagi membantu persiapan pemindahan rakyat AS dari Lubnan sekiranya diperlukan.
Jabatan Negara AS juga bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk menambah penerbangan keluar dari Lubnan, menyediakan lebih banyak tempat duduk bagi rakyat AS.
#Korea Selatan #lubnan #bawa pulang rakyat #terkini
;