Korea Selatan peroleh serpihan satelit pengintip Korea Utara, tamatkan operasi 36 hari
Bernama
Julai 5, 2023 12:59 MYT
Julai 5, 2023 12:59 MYT
SEOUL: Korea Selatan berjaya memperoleh serpihan satelit pengintip Korea Utara sekali gus menandakan operasi mengesan serpihan roket yang dilancarkan pada akhir Mei berakhir, menurut tentera Seoul pada Rabu.
Ketua Turus Bersama (JCS) berkata bahawa tentera menaikkan beberapa bahagian penting roket dan satelit melalui operasi yang bermula 31 Mei dan berakhir lebih awal hari ini, lapor agensi berita Yonhap.
Pakar Korea Selatan dan AS telah menjalankan analisis terperinci terhadap serpihan dan mendapati serpihan satelit itu tidak memiliki kegunaan ketenteraan, menurut JCS.
Pada 31 Mei, Korea Utara melancarkan roket Chollima-1 baharu yang membawa satelit, Malligyong-1, tetapi terhempas ke dalam laut akibat enjin peringkat kedua mengalami masalah teknikal, menurut media kerajaannya.
Tentera Korea Selatan memulakan operasi mengesan serpihan sejurus selepas pelancaran dan menaikkan sebahagian roket pada 15 Jun di tengah-tengah jangkaan bahawa siasatan itu dapat memberi maklumat mengenai kemajuan program pembangunan roket jarak jauh Korea Utara.
-- BERNAMA