Korea Selatan perbaharu swap mata wang dengan Indonesia

Bernama
Mac 6, 2023 16:44 MYT
Kedua-dua negara mungkin melakukan swap sehingga 10.7 trilion won (AS$8.26 bilion) atau 115 trilion rupiah Indonesia. - Reuters
SEOUL: Korea Selatan dan Indonesia pada Isnin memperbaharu pengaturan swap mata wang bernilai lebih AS$8 bilion bertujuan membantu menggalakkan perdagangan antara negara-negara dan meningkatkan kestabilan kewangan mereka, menurut Bank of Korea (BOK), lapor Yonhap.
Di bawah pengaturan selama tiga tahun sehingga 5 Mac 2026 itu, kedua-dua negara mungkin melakukan swap sehingga 10.7 trilion won (AS$8.26 bilion) atau 115 trilion rupiah Indonesia.
"Pengaturan itu akan menyokong penyelesaian perdagangan dalam mata wang tempatan antara kedua-dua negara walaupun ketika kewangan menghadapi tekanan sekali gus membantu kestabilan kewangan serantau," menurut kenyataan akhbar bersama BOK dan Bank Indonesia yang disiarkan di laman sesawang BOK.
Perjanjian swap kali pertama ditandatangani pada 2014 dan diperbaharu pada 2017 dan 2020.
Sebahagian besar swap mata wang tempatan bertujuan untuk menyediakan negara menghadapi masalah mudah tunai dengan membenarkan mereka meminjam wang dengan mata wang sendiri.
Korea Selatan juga mempunyai pengaturan swap mata wang dengan beberapa negara antaranya China, Kanada, Switzerland, Australia dan Turki.
-- BERNAMA
#swap mata wang #Korea Selatan #Indonesia #won #rupiah
;