Korea Selatan: Orang awam di pulau sempadan barat diarah berlindung

Bernama
Januari 5, 2024 17:22 MYT
Arahan pemindahan kecemasan itu dibuat pada 12.02 tengah hari dan sekali lagi pada 12.30 tengah hari (waktu tempatan) atas permintaan tentera Korea Selatan. - Gambar fail
INCHEON: Orang awam Korea Selatan di pulau sempadan barat Yeonpyeong dan Baengnyeong diarah berpindah ke tempat perlindungan berikutan tindakan Korea Utara melepaskan ratusan peluru meriam di pantai barat negara itu pada Jumaat, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menurut pegawai Pejabat Daerah Ongjin di bandar pelabuhan barat Incheon, arahan pemindahan kecemasan itu dibuat pada 12.02 tengah hari dan sekali lagi pada 12.30 tengah hari (waktu tempatan) atas permintaan tentera Korea Selatan.
Tentera Korea Selatan berkata pihaknya mengesan tembakan meriam dari Jangsan Cape dan Deungsan Cape, kedua-duanya di kawasan pantai barat daya Utara dari 9 pagi hingga 11 pagi (waktu tempatan).
Sementara itu, operasi sebuah feri penumpang yang dijadual berlepas dari Incheon ke Yeonpyeong pada 1 tengah hari (waktu tempatan) juga dihentikan berikutan arahan itu.
Menurut Yonhap, peluru yang dilepaskan oleh Korea Utara jatuh di zon penampan maritim di utara Garisan Had Utara (NLL), sempadan maritim de facto.
Zon penampan itu diwujudkan di bawah perjanjian ketenteraan antara Korea yang ditandatangani pada 19 Sept 2018, bagi mengurangkan ketegangan di sempadan.
November lepas, Korea Utara secara unilateral membatalkan perjanjian itu selepas Seoul menggantung sebahagian perjanjian itu sebagai protes terhadap kejayaan Pyongyang melancarkan satelit pengintip tentera.
-- BERNAMA
#Korea Selatan #penduduk berlindung #tentera #Korea Utara #peluru meriam
;