Korea Selatan mula wajibkan ujian saringan COVID-19 untuk ketibaan dari China

Bernama
Januari 2, 2023 16:58 MYT
Di bawah sekatan baharu yang diumumkan tiga hari lalu, semua ketibaan dari China diwajibkan menjalani ujian PCR pada hari pertama ketibaan. - Foto AP
SEOUL: Korea Selatan pada Isnin mula mewajibkan ujian saringan COVID-19 untuk ketibaan dari China menyebabkan timbul kekeliruan dan kesulitan di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.
Di bawah sekatan baharu yang diumumkan tiga hari lalu, semua ketibaan dari China diwajibkan menjalani ujian PCR pada hari pertama ketibaan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Mereka juga mesti berada di kemudahan berasingan di sini sehingga keputusan ujian disahkan manakala rakyat Korea Selatan dan warga asing dengan status pemastautin yang kembali dari melawat China perlu menjalani kuarantin di kediaman masing-masing selepas melakukan PCR.
Pihak berkuasa kerajaan termasuk Perdana Menteri Han Duck Soo dan Pesuruhjaya Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Jee Young Mee, turut turun padang untuk meninjau keadaan susulan pengenalan langkah baharu itu.
-- BERNAMA
#COVID-19 #Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon #Perdana Menteri Han Duck Soo #Jee Young Me
;