Korea Selatan minta sesi mesyuarat UNSC berhubung provokasi Korea Utara
Bernama
Januari 3, 2024 11:15 MYT
Januari 3, 2024 11:15 MYT
NEW YORK: Korea Selatan, dalam peranan baharunya sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), menegaskan kesediaannya untuk meminta sesi mesyuarat UNSC sebagai tindak balas kepada provokasi Korea Utara.
Wakil tetapnya ke UNSC, Hwang Joon Kook menyampaikan pendirian itu selepas upacara mengibarkan bendera UNSC di New York, lapor Agensi Berita Yonhap.
"Meskipun tiada isu berkaitan Korea Utara dalam agenda UNSC pada Januari, Korea Selatan berhak meminta diadakan mesyuarat UNSC jika perlu.
"Dalam mesyuarat hari ini, saya meminta negara anggota lain termasuk negara pengerusi untuk memberi kerjasama," kata Hwang kepada pemberita.
Korea Selatan memulakan penggal dua tahunnya bersama Algeria, Guyana, Sierra Leone dan Slovenia.
Mengakui usaha damai UNSC berdepan cabaran di tengah-tengah ancaman keselamatan yang semakin meningkat di Semenanjung Korea, Hwang menekankan komitmen terhadap tindakan kerjasama bagi mempromosikan keamanan antarabangsa, kemakmuran, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.
"Kami yakin ia boleh dilakukan dengan saling bekerjasama bagi mencapai objektif untuk mempromosikan keamanan dan kemakmuran antarabangsa, serta menegakkan hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang," katanya.
-- BERNAMA