Korea Selatan mahu runding dengan Pyongyang berkaitan syarikatnya
Izza Izelan
Mei 14, 2013 19:20 MYT
Mei 14, 2013 19:20 MYT
Presiden Korea Selatan, Park Geun-Hye memohon untuk berunding dengan jirannya Korea Utara berkenaan peralatan yang masih tertinggal di Kompleks Perindustrian Kaesong yang terletak di sempadan kedua-dua negara.
Geun-Hye berkata, pemulangan peralatan-peralatan tersebut dapat membantu mengurangkan kerugian yang terpaksa ditanggung oleh syarikat-syarikat milik warga Korea Selatan.
Pemimpin Korea Selatan itu kecewa kerana Korea Utara telah memungkiri beberapa perjanjian yang telah dimeterai.
Republik utara itu telah menghentikan operasi di Kaesong pada awal April lalu, dan menarik semua 53 ribu pekerjanya selain menghalang pengurus kilang warga Korea Selatan dan lori-lori membawa barang masuk ke negara itu.
Korea Selatan telah mula memanggil pulang warganya yang berada di Kaesong sejak akhir April dan selebihnya awal Mei.
Tindakan Korea Utara itu dilihat sebagai tanda marah terhadap tekanan Korea Selatan dan Amerika Syarikat. selain Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu PBB yang menghalang republik itu melakukan ujian nuklear ketiganya.
Park menggesa agar satu sistem diwujudkan yang akan memastikan keselamatan kompleks perindustrian itu terjamin dan segala yang telah di persetujui di dalam kontrak dituruti.