Korea Selatan lulus pengurangan sumbangan Indonesia projek KF-21 kepada 600 bilion won

Bernama
Ogos 16, 2024 22:29 MYT
Jawatankuasa Promosi Projek Pertahanan menyokong rancangan itu di tengah-tengah kebimbangan mengenai komitmen Jakarta terhadap projek KF-21 berikutan kelewatan pembayaran yang berulang kali. - Gambar Yonhap
SEOUL: Pihak berkuasa pertahanan Korea Selatan pada Jumaat meluluskan rancangan untuk mengurangkan sumbangan kewangan Indonesia bagi projek pembangunan pesawat tempur bersama kepada 600 bilion won (US$440 juta), kira-kira satu pertiga daripada jumlah asal, menurut agensi perolehan senjata negara.
Agensi berita Yonhap melaporkan Jawatankuasa Promosi Projek Pertahanan menyokong rancangan itu di tengah-tengah kebimbangan mengenai komitmen Jakarta terhadap projek KF-21 berikutan kelewatan pembayaran yang berulang kali.
Indonesia pada asalnya bersetuju untuk membayar 1.6 trilion won, mewakili 20 peratus daripada program bernilai 8.1 trilion won yang dilancarkan pada 2015 untuk membangunkan pesawat tempur supersonik canggih.
Bagaimanapun, Indonesia setakat ini hanya menyumbang sekitar 380 bilion won dan baru-baru ini meminta untuk mengurangkan jumlah sumbangan kewangannya kepada 600 bilion won.
Pentadbiran Program Perolehan Pertahanan (DAPA) berkata rancangan itu merangkumi cara untuk mendapatkan dana yang tidak mencukupi tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Ia berkata kelulusan itu mengambil kira pelbagai faktor, termasuk hubungan dua hala dan kemungkinan mendapatkan dana berkenaan, sambil menambah bahawa pihaknya akan menyelesaikan rundingan pembahagian kos dengan Indonesia dengan baik.
Walaupun terdapat kelewatan pembayaran, projek itu berada di landasan yang betul untuk menghasilkan pesawat tempur canggih yang direka untuk menggantikan jet era Perang Dingin F-4 dan F-5 Korea Selatan kepada Tentera Udara pada 2026.
Pada Jun, Korea Aerospace Industries Ltd, satu-satunya pembina pesawat tempur di negara itu, menandatangani perjanjian bernilai 1.96 trilion won dengan DAPA untuk memulakan pengeluaran 20 pesawat KF-21.
-- BERNAMA
#Hubungan dua hala #pembahagian kos #pesawat tempur #butiran lanjut